Thursday, May 22, 2008

Guru Pernah Berpesan...

Satu sajak yang diilhamkan sempena Hari Guru pada 17 Mei 2008 yang lalu. Teringat kepada pesanan guru yang disanjungi..Ustaz Muhaizam bin Ishak yang kini mencurahkan baktinya di Maktab Mahmud Pokok Sena..dinukilkan sajak ini sebagai tanda sanjungan dan pengiktirafan atas pengorbanan kalian..
..........................................................................................................
Guru Pernah Berpesan....
(Sempena Sambutan Hari Guru)

Guru pernah berpesan...
Jika mahu cemerlang dalam kehidupan
Carilah mereka yang punya ketetapan
Akidah, akhlak dan ibadah dalam pegangan
Menelusuri setiap masa dan zaman
Kerana ini adalah 'sentiasa kehijauan'
Walau peradaban dan tamadun dalam kebejatan...

Guru pernah berpesan...
Jadikan kesihatan satu keutamaan
Badan yang cergas merupakan kekuatan
Minda yang cerdas menunjukkan kelebihan

Guru pernah berpesan...
Al-Quran dan Sunnah jadikan panduan
Tadabbur jadikanlah rutin harian
Padanya terdapat luarbiasa ketenangan
Yang tak bisa disanggah meskipun dengan pengalaman
Dan tingginya pengetahuan insan

Guru juga pernah berpesan...
Jangan lupa akan ikatan
Walau kita saling berjauhan
Ada keajaiban yang mendekatkan
Jiwa yang serasi sering berhubungan
Petanda kukuhnya ikatan persaudaraan

Guru pernah melahirkan pengharapan
Semoga bersama bersua hadapan
Dalam medan perjuangan kehidupan
......................................................................................................

27 Mac 2008
1420 Putrajaya

Share

Wednesday, May 21, 2008

Tuesday, May 6, 2008

Sekadar Peringatan Untuk Semua

Salam persaudaraan..

Buat kali pertama untuk ruangan mycreativetint ini kita akan menelusuri sebuah lirik lagu yang berkisarkan Hari Pengakhiran.

Tergerak untuk mengutarakan lirik ini setelah melihat gambar-gambar yang dikirimkan oleh sahabat lama mengenai satu fenomena yang berlaku di Kuala Lumpur seketika waktu.

Peristiwa berlaku 3 April 2008 yang lalu di waktu rembang. Penulis tidak pasti situasi yang berlaku disebabkan tiada di ibukota ketika itu. Tetapi menurut beberapa rakan yang dipercayai dan mempercayai, situasi ini memang berlaku.
........................................................................................................

PADA HARI ITU...
(Inspirasi daripada Surah al-Zalzalah)

Apabila digoncangkan bumi dengan sedahsyat-dahsyatnya
Iapun mengeluarkan segalanya
Manusia bergelimpangan persoalan

Berkatalah manusia
"Mengapa berlaku getarannya?"
Itulah tanda kemusnahan
Dunia menjadi debuan


Pada Hari Itu......
Manusia berduyunan
Pergi menyaksikan amalan mereka

Pada Hari Itu......
Amalan diperhitungkan
Antara jalan ke syurga ke neraka

Begitulah
Keadaan hari kemudian penghujungnya
Sedialah beramal dan bertaqwa
Bekalan menuju ke sana...

Nur Iman UTHM

Share

Selamat Datang Ke "mycreativetint"

Assalamualaikum.. Salam Sejahtera pada semua. Selamat Datang dan bertukar-tukar idea dalam laman blog "mycreativetint" ini. Blog ini diwujudkan khusus untuk meluahkan ilham rasa kreatif bagi diterjemahkan dalam ruangan tinta. Sekadar perancangan untuk menterjemahkan isu-isu semasa dalam aspek sosial dan sebagainya, dalam dan luar negara dalam alunan puitis dan rangkap-rangkap gurindam serta perenggan-perenggan cerpen juga rencana sebagai medium meluahkan rasa kurang senang atas kebejatan dalam masyarakat.
Semua yang terluah adalah bersifat peribadi dan tidak berniat menyinggung mana-mana pihak. Sedaya upaya menggarap semua hasil penulisan dalam bentuk kiasan supaya tiada pihak yang akan terasa. Namun inilah dia serampang dua mata yang akan memberi kesedaran kepada semua terutama blogger "mycreativetint" sendiri.
Semua yang melawat juga dipelawa untuk berkongsi sebarang rasa hati dan juga kreativiti. Mana tahu ia boleh menjadi perangsang dan juga mencambahkan idea-idea lain untuk menajamkan tinta ini..
Sekian...Terimalah "mycreativetint" dengan seadanya....Mana tahu ia bisa menggegar...
Ameen...
Share