PROLOG

Assalamualaikum warahmatullah

Menulis bukan sekadar melepaskan bebanan jiwa, berkongsi cerita dan perasaan. Namun lebih dari itu berkongsi setiap patah pekataan yang dinukil dalam bait-bait indah dan puitis, secara lantang ataupun halus berseni. Mungkin ada yang tidak memahami sulur-suluran kata tertitip pada pena. Kadangkala ia hadir dengan maknawi; tersembunyi erti namun sesetengah insan memahami maksud tersembunyi walaupun hanya insan memutar tinta sahaja yang mengerti.

Kreatif merupakan sifat anugerah Ilahi. Tertitip jua dari sifat-Nya yang Maha Mengetahui dan Maha Mencipta segala-galanya. Ironinya, hasil nukilan kita sendiri adalah antara ciptaan Ilahi; yang tercipta secara tidak langsung. Tercipta melalui hebatnya akal dan fikiran. Terbit pelbagai idea kreatif, inovatif namun ada juga yang pasif. Gambaran kehebatan alam serta penciptaannya, tabiat insan serta buruk baik perasaan ternukil dalam bentuk frasa dan perkataan, merupakan ilham yang datang dari-Nya juga. Kita cuma diberi sedikit 'kebijakan'-Nya untuk menuturkan penciptaan-Nya dalam bentuk nukilan indah; tidak kira apa bentuk dan cara; melalui lensa atau pena, semata-mata untuk dikongsi bersama manusia,  agar; tetap sedar dan insaf siapa sebenarnya kita.

Tidak ada yang sempurna. Namun jika kita tidak mendapat apa yang kita sukai; beruntunglah kita andai kita belajar menyukai apa yang kita dapat. Nampak lebih bererti lagi pada kehidupan rasanya. Begitulah juga dengan penulisan ini. Ada yang bersifat tidak matang; menghentam individu sesuka hati; luahan hati membuta tuli, membuang maksud yang amat bererti namun dirasakan perlu diluah dan dikongsi. Mana yang baik jadikanlah tauladan, Mana yang tidak baik sempadankan daripada kehidupan. Insya-ALLAH sejahtera aman.

Untaian kata-kata yang mana bersifat peribadi (pada pandangan sendiri) hanyalah sebagai luahan daripada satu insan yang memahami. Luahan dalam rangkap puitis mempunyai seribu makna. Terpulang pada semua; kebebasan terletak di tangan (kebijaksanaan dalam genggaman) semua yang menilai.

Sekadar meluahkan dan berkongsi dengan anda. Laman MONOLOG membawa kita menelusuri jiwa ilham yang akan, sedang dan terus berbicara selagi tiada ketika di hujung nyawa.

Terimalah..

MYCREATIVETINT... ILHAMKU BERBICARA...

Share