Tuesday, May 26, 2009

TERHANGAT KE TERHANGIT?


TERHANGIT DI PASARAN
(Nukilan Ikhlas Untuk Yang Merasakan Diri Popular Sangat)

Seronok ke?
Dikelilingi ramai peminat
Yang tak kenal erti penat
Diserbu orang kebanyakan
Ditumpu semua hala pandangan
Yang bicaranya belum pasti apa luahan

Jadilah contoh yang baik
Kerana kau orang dah tertarik
Setiap langkah orang melirik-lirik
Senyum simpul sambil mereka menilik

Kau umpamakan diri
Terhangat Di Pasaran
Padahal tak sedar juga sebenarnya
Terhangit Di Pasaran
Masih lagi mendabik dada
Meninggi diri
Berpengalaman luas
Dalam dunia yang tak ada apa-apa sebenarnya

Sebenarnya kalau dah lama sangat
Ranum buah dah lama gugur BUSUK
Menyala lampu dah lama hangus TERBAKAR
Tanak nasi dah lama rentung HANGIT!

Tapi jangan undur lagi
Konon tak ada semangat setelah ditaji
Ini sekadar teguran diberi
Untuk tuan empunya diri

Agar tak lalai dan ingat sendiri
Kerana tak semua yang ingin berbudi
Menegur dan memberi nasihat begini

ANaZRaZ
MyControlRoom
(formerly known as MakcikControlRoom);)
27052009 : 1145
Share

Monday, May 25, 2009

JANGAN..JANGAN...JANGAN...!

BEBERAPA "JANGAN" YANG MENARIK UNTUK DIKONGSIKAN

Kredit untuk kiriman sahabat baik Saudara Rosmadi yang kini berkhidmat di PULAPOL Kuala Lumpur yang amat menarik untuk dikongsikan bersama.

Jangan sengaja lewatkan solat.
Perbuatan ini Allah tidak suka.
Kalau tertidur lain cerita.

Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar).
Takut kalau-kalau terbawa keluar najis,
mengotori seluruh rumah kita.

Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing.
Makruh kerana ia membahayakan.

Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh.
Makruh dan mewarisi kepapaan.

Jangan tidur selepas solat Subuh,
nanti rezeki mahal
(kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).

Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan.
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.

Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan.
Takut-takut kita mati dalam perjalanan.

Jangan pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan
Makruh dan mewarisi kepapaan.

Jangan biarkan mata liar di perjalanan.
Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa
kerana mati boleh datang bila-bila masa.

Jangan ego untuk meminta maaf pada ibu bapa
dan sesama manusia
kalau memang kita bersalah.

Jangan mengumpat sesama rakan taulan.
Nanti rosak persahabatan
kita hilang bahagia.

Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita.
Nanti kita sombong apabila berjaya.
Kalau gagal kecewa pula.

Jangan bakhil untuk bersedekah.
Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.

Jangan banyak ketawa.
Nanti mati jiwa.

Jangan biasakan berbohong,
kerana ia adalah ciri-ciri munafik
dan menghilangkan kasih orang kepada kita.

Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan.
Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH..

Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia.
Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.

Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN.
Sebab semuanya untuk keselamatan kita.

ALLAH lebih tahu apa yang terbaik !
Untuk hamba ciptaan-Nya.

Timo Kasih Daun Keladi
Untuk Gu Ambo Tuwe Rosmadi
Umo Panje Jupo Nati
Bekwoh Demo Bilo Lagi Ni..? ;)

Share

Sunday, May 24, 2009

HADIRLAH HARAPAN, PERGILAH KENANGAN..



HADIRLAH HARAPAN, PERGILAH KENANGAN..
(Ilham Tercipta di Pantai Tanjung Batu, Bintulu)

Berdiri kukuh aku
Di atas bongkah-bongkah batu
Separuh lautan
Tenggelam daratan

Aku mendengar suara itu dan itu
Itu suara yang kurindui
Itu suara yang kubenci
Tak dapat dipisah antara kedua-duanya

Aku merenung jauh
Dasar lautan yang terbentang luas
Sekadar hajat kulepaskan
Di dasarnya yang gelap gelemat
Segala kenangan yang menyakitkan

Kulontarkan segala dosa silam
Jauh ke perut lautan
Agar tidak lagi
Melingkari kehidupan
Yang kini diselubungi keberkatan

Hadirlah hanya kenangan
Yang memberi pengalaman
Yang memberi harapan
Yang memberi kehidupan

Tuhan...
Hadirkanlah harapan
Yang kupanjatkan
Pada setiap doaku
Pada saban munajatku

Agar aku dikurniakan
Ketenangan dalam kehidupan

ANaZRaz
Pantai Tanjung Batu, Bintulu
23052009 : 1200 Share

Wednesday, May 20, 2009

LETIH..LETIH..LETIH..


BERAPA KALI SUDAH KU KATA..
(Contengan Khusus Untuk Insan Yang Tak Reti Bahasa)

Berapa kali sudah ku kata..
Kau ni nak jadi apa?
Hidup kita di dunia sementara
Bukan sekejap tetapi tak lama
Cepat-cepatlah bersedia
Segar seteguk air Telaga Kauthar
Manis segugus anggur Firdaus-Nya

Bukannya apa..
Kau ini tetap tak sedar diri
Tetap tak mahu kembali pada hakiki
Yang telah tetap pada azali lagi

Berapa kali sudah ku kata..
Kau kembalilah pada yang berhak padamu
Jangan kau ganggu lagi gaya hidupku
Kutahu kau cukup bahagia
Walaupun ada secebis derita
Yang terselit sepanjang kenangan bersama

Sudahlah..
Kau sudah mengerti akan prinsipku
Andai ku ludah dengan kerelaanku
Sanggup ku jilat kembali demi maruahmu
Andai ku ludah atas permintaanmu
Tidak sesekali akan kujatuhkan maruah dan martabatku..

ANaZRaz
Bilik Sejuk Beku
Kuching, Sarawak
21052009 : 1200
Share

Monday, May 11, 2009

PERMATA YANG DIAM


PERMATA YANG DIAM
(Dedikasi Buat Insan Lama Yang Baru Ku Temui)

Redup matamu memandang saujana
Berkilau bersih tajam menghiris
Seukir senyuman kau pamerkan
Dan yang pernah kau lakarkan
Untukku dahulu sebagai sahabat cuma

Kau ibarat
Permata yang diam
Mutiara yang qiam
Lama menanti masa tekanan berakhir
Untuk kau menyinar
Memukau tujuh indera
Yang sentiasa menanti kehadiran

Nah!
Aku bekalkan kau semangat dan harapan
Untuk berdepan onak rintangan dan cabaran hadapan
Agar kau beroleh kekuatan
Agar kau punya keazaman
Kutahu kau
Sedang menanti masa bangkit berjuang

Kau serlahkan dirimu
Tunjukkan pada mereka siapa sebenarnya
Mutiara serta permata yang sedang bertapa
Yang sudah tiba masanya
Untuk kau menyinar
Memukau tujuh petala
Aku yakin dengan dirimu….
Hai permata dan mutiara terbilang

Kuhulurkan tangan dengan hajat
Kupimpin tanganmu bersama-sama
Kita berangkat ke puncak jaya
Bukan sahaja ke mercunya
Tetapi terus mencapai cakerawala

Kau jangan bimbang
Bekal yang kau bawa akan kucukupi
Akan ku semai dengan iman dan takwa
Yang perlu hanya kau jaga
Al-Fatihahmu,
Solatmu,
Dan ketaatan pada yang berhak padamu

Garapan Seni Bersendi Pengharapan Pada Tuhan
ANaZRaZ
Lot 297, Kota (Ilmu) Samarahan
10052009 : 1500
Share

Thursday, May 7, 2009

INGATAN UNTUK SAHABAT BAIKKU



SEDARLAH SIKIT KAWAN...
(Peringatan Untuk Seorang Sahabat yang Celupar)

Aku kaget mendengar ucapan
Dari mulut seorang kawan
Yang sejak lama bergandingan
Kongsi hati dan juga perasaan

Aku terkejut tetapi tenang
Apabila kau panggil mereka BANGANG...
Kunukilkan ini untukmu pandang

Hei Kawan..!
Kau senang cakap orang BANGANG..!
Kau ingat kau syumul sangat,
Pahala segunung dosa sejemput?
Kau ingat kau bijak sangat,
Ilmu melangit jahil sedikit?

Wei Kawan..!
Walaupun bukan aku yang kau maksudkan
Tetapi mereka tetap insan
Yang amat perlukan pedoman
Serta banyak bimbingan
Tapi kau sedap-sedap katakan
Mereka BANGANG?

Wahai Kawan..!
Mana kau letak keharmonian hatimu?
Yang pernah kita semai dahulu
Bersama guru-guru
Menadah ilmu dari pengalaman dan juga buku

Macam inilah Kawan..!
Aku malas nak layan engkau
Sampai kau sedar apa khilaf kau
Menilai orang dengan pendek akal
Sedangkan kau orang terbilang
Yang bukan calang-calang

Sudahlah Kawan..!
Kalau BANGANG masih lagi pendirian engkau
Ternyatalah...
Kau memang tepat sekali
Untuk ku sifatkan
Engkaulah yang sebenarnya..

BANGANG!

ANaZRaZ
International Islamic Centre (Pusat Penerangan Islam)
Kuching, Sarawak
08052009 : 1315 Share

Wednesday, May 6, 2009

IBU KAMI SANJUNGAN KAMI

Sempena 10 Mei yang mendatang, kunukilkan satu puisi umum untuk mereka yang bergelar ibu dan khusus untuk ibuku yang berada jauh di mata tetapi amat dekat di hati. Selamat Hari Ibu dan Ulangtahun ke 57

NAUNGAN KASIHMU
(Inspirasi atas ketabahan kaum ibu; khusus untuk Emak sempena Hari Ibu 2009)

Lembut tanganmu ketika muda
Bergarit kasarnya apabila dewasa
Retak kedutan kala dimamah usia
Kau tetap setia
Pada insan bernama Abah
Pada kami bernama anak
Membelai jiwa, menyapu keringat juga airmata
Mana-mana kami yang berduka

Menatang kami bak minyak yang penuh
Dalam ketegasan bersulam kelembutan
Kasih sayang yang dijalin pengharapan
Melihat kami maju masa-masa hadapan
Ditenun dengan munajat saban ketika
Agar corak yang terhasil dapat mewarnai dunia
Dengan cahaya kedamaian dan ketenangan terpancar
Dari mereka-mereka yang berdiri
Yang terpilih bergelar
ANAK-ANAKMU

Emak,
Terima kasih atas pengorbananmu
Dalam tadahan telapak ini kami meminta
Agar dimakbulkan permohonanmu
dan..
Agar kami lima bersaudara
Dapat berbakti walau dibatas jarak dan masa
Walau terbenteng tugas ketika

Kami harapkan naungan kasihmu
Tetap memayungi kami
Redhailah kami
Ampunkan dosa dan khilaf kami

Emak,
Kau tetap di hati ini

ANazRaz
Kota (Ilmu) Samarahan
07052009 : 0303 Share

Monday, May 4, 2009

OH..INILAH YANG BETULNYA...!

Tiada huraian..penuh kiasan dan bidalan. Harap yang makan cili akan terasa enaknya sahaja.

Aku lompat!
Kau kata salah
Aku mundur..
Juga kau kata salah..?
Aku elak
Salahkah juga?

Habis..
Apa yang betulnya..?

Yang betulnya
Kau ikut sahaja
Jangan banyak bertanya
Kelak hilang berkatnya

Asasnya
Kau berdiri atas dua kaki sendiri
BERDIKARI

Yang betulnya
Kau redah rempuh halangan
Dengan berpendirian

Yang betulnya
Kau kais dan balas semula
Biar lengitnya jangan kau juga
Terduduknya menahan derita

Sekarang baru betul
Kau berdiri tanpa perlu melenggok-lenggok kaki
Menanti apa yang perlu dihadapi

Kau gempur tanpa perlu mundur
Biar jasadmu hancur lebur
Asal maruah tidak tercabul

Kau menunggu tanpa perlu kanan kiri
Ambil sahaja dan pulangkan kembali
Biar dia merasa apa yang dia mahu kau rasa tadi

Selesai...

Garapan Berkias
MOHD ZULBAIRI BIN GHAZALI
Kota (Ilmu) Samarahan
05052009 : 0300 Share

Sunday, May 3, 2009

PENGEMBARAAN TIGA (3) DESA

Sempat juga mengembara dalam kesibukan tugas dan kerja, perjalanan ke Mukah dan Sibu menggunakan pengangkutan darat, air dan udara sesungguhnya memberikan pengalaman yang bermacam cara. Satu pengalaman yang tak dapat dilupa, dicoretkan dalam puisi ringkas ilham sementara..

Jauh Kembara Mencari Apa…
(Ilham Perjalanan Singkat Merentasi Tiga (3) Budaya)

Situasi 1 :

Dari Utara berbekalkan gerak rasa
Terilham ke Selatan mencari kehidupan
Kembara ke Tengah agar keazaman takkan goyah
Terus ke Barat rezeki melimpah berkat
Maju ke Timur hidup terasa amat makmur

Itulah hakikat kembara
Luas pandangan, luas pengalaman
Dan matang lagi kehidupan hadapan
Menempuh cabaran, onak rintangan

Rasa berpadu gerak membawaku ke sana
Atas dasar mendalami hidup yang berbeza
Menelusuri budaya terpelihara
Mengenal maksud sahabat dan saudara
Mencari damai dan mengelak sengketa

Kubulatkan tekad dan berserah pada-Nya
Walaupun sudah di telapak kanan dan kiri tempatku tuju
Kuhayun langkah ini walau tiada hala yang nyata
Tetapi atas tujuan yang satu
Nekad.. maksud yang sudah terbuku

Situasi 2 :

Dari langit tinggi
Bagaikan mergastua
Menyaksikan kehebatan, kekuasaan, kecantikan kuasa
Yang Maha Pencipta

Dari hutan hijau saujana
Terasa diri bagaikan flora fauna
Berkorban untuk manusia
Dikorban juga untuk manusia

Dari laut membiru dan batang menderu
Ku jumpa sahabat dan teman baru
Menghulur tangan sudi membantu
Didasar ukhwah dan persaudaraan yang satu

Situasi 3 :

Aku
Tenang susuri debu-debu halus
Putih berkilau dek panah terik mentari
Semilir kedamaian menghembus nafas
Sejuk lagi menyejukkan sukma
Dingin menghilangkan hangatnya diri

Dia
Berjalan tenang; ada dukacita
Jauh berjalan mencari cahaya
Tidak sedar juga empunya diri dalam gelita
Dalam derita

Dalam dia raba
Tersentuh juga pelita
Namun pelita
Tanpa cahaya tiada maknanya
Umpama kembara tanpa bekal berguna
Tetap tercari-cari jalan sebenarnya

Kisahnya..
Itulah sehingga kesudahannya
Tiada noktah tiada apa-apa
Tiada penghujung walaupun putus nyawa

Sedang aku pula
Sentiasa terpandu menuju cahaya ini
Kuharapkan akan sentiasa dirahmati
Sejalur cahaya dari Ilahi

Noktah....

MOHD ZULBAIRI BIN GHAZALI
Pantai Kala Dana sempena Pesta Kaul 2009 Share