Sunday, May 3, 2009

PENGEMBARAAN TIGA (3) DESA

Sempat juga mengembara dalam kesibukan tugas dan kerja, perjalanan ke Mukah dan Sibu menggunakan pengangkutan darat, air dan udara sesungguhnya memberikan pengalaman yang bermacam cara. Satu pengalaman yang tak dapat dilupa, dicoretkan dalam puisi ringkas ilham sementara..

Jauh Kembara Mencari Apa…
(Ilham Perjalanan Singkat Merentasi Tiga (3) Budaya)

Situasi 1 :

Dari Utara berbekalkan gerak rasa
Terilham ke Selatan mencari kehidupan
Kembara ke Tengah agar keazaman takkan goyah
Terus ke Barat rezeki melimpah berkat
Maju ke Timur hidup terasa amat makmur

Itulah hakikat kembara
Luas pandangan, luas pengalaman
Dan matang lagi kehidupan hadapan
Menempuh cabaran, onak rintangan

Rasa berpadu gerak membawaku ke sana
Atas dasar mendalami hidup yang berbeza
Menelusuri budaya terpelihara
Mengenal maksud sahabat dan saudara
Mencari damai dan mengelak sengketa

Kubulatkan tekad dan berserah pada-Nya
Walaupun sudah di telapak kanan dan kiri tempatku tuju
Kuhayun langkah ini walau tiada hala yang nyata
Tetapi atas tujuan yang satu
Nekad.. maksud yang sudah terbuku

Situasi 2 :

Dari langit tinggi
Bagaikan mergastua
Menyaksikan kehebatan, kekuasaan, kecantikan kuasa
Yang Maha Pencipta

Dari hutan hijau saujana
Terasa diri bagaikan flora fauna
Berkorban untuk manusia
Dikorban juga untuk manusia

Dari laut membiru dan batang menderu
Ku jumpa sahabat dan teman baru
Menghulur tangan sudi membantu
Didasar ukhwah dan persaudaraan yang satu

Situasi 3 :

Aku
Tenang susuri debu-debu halus
Putih berkilau dek panah terik mentari
Semilir kedamaian menghembus nafas
Sejuk lagi menyejukkan sukma
Dingin menghilangkan hangatnya diri

Dia
Berjalan tenang; ada dukacita
Jauh berjalan mencari cahaya
Tidak sedar juga empunya diri dalam gelita
Dalam derita

Dalam dia raba
Tersentuh juga pelita
Namun pelita
Tanpa cahaya tiada maknanya
Umpama kembara tanpa bekal berguna
Tetap tercari-cari jalan sebenarnya

Kisahnya..
Itulah sehingga kesudahannya
Tiada noktah tiada apa-apa
Tiada penghujung walaupun putus nyawa

Sedang aku pula
Sentiasa terpandu menuju cahaya ini
Kuharapkan akan sentiasa dirahmati
Sejalur cahaya dari Ilahi

Noktah....

MOHD ZULBAIRI BIN GHAZALI
Pantai Kala Dana sempena Pesta Kaul 2009 Share

0 comments: