Thursday, August 26, 2010

SABAR MENANTI

Pada seperenam munajat itu
Mula sesudah senja dua ulangan
Akhir ketika mentari leka terbenam
Wajah itu terpapar hingga akhir kalam

Walau basa basi bahasanya
Walau masih tiada kalimah terucap dari bibirnya
Aku tetap terbayang dan pasti
Dia orangnya
Dia pilihan-Nya

Hampir pasti apabila aku menyerah diri
Bertanya dan mengharap pada-Nya yang lebih mengerti
Bertemu dan berjumpa dengan jawapan yang dinanti
Jelas dan terpancar senyumnya dari hati

Kembara kami menelusuri zaman
Perjalanan panjang mengharung jalanan
Berliku segala penuh cabaran
Diakhiri dengan munajat kehambaan
Dan ihsan kepada yang memerlukan

Hanya berserah pada-Mu sahaja
Setelah lengkap doa dan usaha
Kiranya tidak; pasrah dan redha
Hikmah menanti bukan akal kita menduga

Syukran Jazilan Ya Ukhti
Ucapan dari diri ini
Sudi mengenalkan hati pada hakiki
Singgah sebentar untuk memberi erti

ibnughazali
27082010 : 110000 Share

Tuesday, June 22, 2010

SEMBILAN (9) NYAWA

(rasa bangga jiwa kepada para syuhada Mavi Marmara)

9 Nyawa,
Bukan mitos makhluk yang manja
Namun hilangnya beberapa jiwa
Tragedi berdarah di hati semua

Sekelumit cuma
Dari ribuan terkorban di sana
Namun mampu membuka mata
Kerana kita 'terkena' sama

Mereka yang pergi tidak didendang
Menyabung nyawa di hujung senapang

Namun
Pulang mereka dipalu gendang
Diangkat martabat mereka pejuang
Walhal semua tahu mereka berjuang!

Hilang sementara
Suara bantah-berbantah
Atas zalim tidak pernah ditingkah

Berganti pula
Suara sorak bergema riuh rendah
Dari rumpun bumi Savannah

Bijak laksana mereka semua
Merencana kita sedemikian rupa
Media massa dikawal selia
Waktu beraksi terjangka sedia

Hingga tiada suara kita
Yang terdengar hanyalah cuma
Hiruk pikuk pelbagai bahasa
Bafana..! Bafana..!! Bafana...!!!

Harap hanya semoga
Selepas dedar sorakan akhir bergema
Pulanglah kembali ke dunia nyata
Ada nasib yang perlu dibela
Ada anak yang kehilangan bapa
Isteri hilang pasangan tercinta

Buat sembilan nyawa yang berlalu
Pergilah dahulu
Moga nanti kami bertamu
Bertemu kita di halaman rindu
Pada daerah yang begitu syahdu

ibnughazali
22062010 : 182020

Share

Thursday, June 17, 2010

RINTIHAN AMANAH SEORANG AYAH..

(hampir menitis airmata membaca nukilan rasa jiwa kisah sahabat lama Ustaz Mohd. Hisham bin Mohamad al-Hafiz yang amat merindukan anaknya setelah pemergian isteri yang tercinta. Semoga akhi berjaya mendapat kembali anak yang tersayang, kami tetap akan doakan. Berikut nukilan dan rintihan akhi Hisham. Bersama-samalah kita mendoakan kesejahteraannya)

Tolonglah pulangkan anak kecilku,
aku benar-benar amat merinduinya,
Sudah tiada airmata yang hendak dialirkan,
Siang malam tidak dapat lelapkan mata,
Setiap saat teringatkan keletah dan
wajah comel anak tersayang,
Riang ria dan gelak tangisnya,
Betapa rindu meruntun hati,
Anak kecil yang tidak mengerti apa-apa,
Sudahlah kehilangan ibu, dipisahkan pula ia dengan bapanya,
Sedangkan wasiat si ibu sebelum menutup mata,
Agar aku dapat menjaga SUHAIB anakku dengan sebaiknya.
Tetapi, kini hukum wasiat sudah tidak dipedulikan,
Ayat Al Quran ditolak tepi,
Hadis Nabi tidak lagi dijadikan panduan,
Yang ada hanyalah tuduhan, penghinaan, fitnah dan
kata-kata kesat terhadap menantu sendiri,
Apakah salahku hingga diperlakukan sebegini,
Sampai bilakah persengketaan ini akan berakhir,
Tapi apakan daya insan lemah lagi dhaif ini
hanya mampu menadah tangan,
Ya Allah, aku hambaMu yang teraniaya,
Dipisahkan aku dan anak yang masih kecil,
Tidak dapat digambarkan betapa dalamnya kerinduan hati ini,
Tetap sabar menanti agar dikembalikan anak kecilku,
Ya Allah, Ya Rahman,
Kau lembutkanlah hati-hati mereka,
Agar mereka kembali mengikuti ajaranMu,
Amin ya rabbal ‘alamin.
Kepada keluarga mertuaku,
Sekali lagi aku merayu;
Tolonglah pulangkan anak kecilku
MUHAMMAD SUHAIB BIN MOHD HISHAM”

Share

Monday, June 14, 2010

PESANANNYA

(ketika jari pantas berlari, menutur kata melalui lensa)

Dia menyapa lembut bahasa
Suluh gelita bertemu cahaya
Merah membahang dan hijau yang tenang
Membuat hati terisi senggang

Seketika kemudian tersampai pesan
Bertanya khabar serta keadaan
Sempat juga menitip cadangan
Buat teman pelengkap insan

"Carilah yang sederhana jiwanya
Pasti dikau akan bahagia..."

"Rendah hati dan molek pekerti
Baik budi pelengkap diri..."

Seumpama...
Perempuan Melayu Terakhir lagaknya
Bukan bagi yang menutur bicara
Tetapi yang tersirat dalam wacana
Tersembunyi dalam lipat-lipat manusia
Senang dicari sukar diterka

Bagiku...
Teruskan mencari dan menunggu
Yang bisa menggetarkan hati batu
Yang sabar menundukkan ego dan dungu
Yang boleh menggenggam jiwa sedingin salju
INSYA-ALLAH ketemu...

ibnughazali
150610 : 150821

Share

Friday, June 11, 2010

SUATU MASA

(sekadar peringatan buat diri yang tiidak tahu erti sabar)

Suatu masa
Akan terjawab akhirnya
Semua tanda tanya
Semua cerita duka
Semua tanda derita

Terhurai umpama bilah-bilah mentari
Menghitung awan di pagi bererti
Memancar sinar membelah hari
Memugar cahaya ke segenap segi
Memberi bahagia penduduk Bumi

Ketika itulah
Baru jelas lagi terserlah
Berkat sabar serta berserah
Kepada-Nya yang memberi anugerah
Segala yang tersembunyi bernama hikmah

Di saat itu kau mampu tersenyum
Ibarat bunga mekar berkuntum
Rasanya segar; baunya harum

"Inilah sebab aku terjatuh
Mengajar agar tidak tersentuh
Barang kedua yang memberi contoh
Agar jalan yang kau tempuh
Tidak lagi memanjangkan tempoh..."

ALHAMDU LILLAH.....

ilham rasa menyentuh
pada saat mentari berlabuh
tika saat senja bersauh

ibnughazali
11062010 : 184901

Share

Sunday, May 9, 2010

INILAH DIA...

mencari makna dan hubungan; erti dan perasaan

Adakah...
Tidak setaraf munajat hamba
Sekadar mimpi igau biasa
Tiada pasak yakin pada-Nya
Tiada letak tawakal semata

Apa maksud ertikanlah
Baik buruk fahamkanlah
Sekadar mencari secalit hidayah
Bekal bersama di jalan payah

Antara perasan dan perasaan
Berkilas bertingkah saling berlawanan
Apa sebenar masih persoalan
Dalam mencorak warna kehidupan

Aku bersandarkan naluri insan
Titisan rahmat kasih sayang Tuhan
Inilah dia.. Inilah keputusan
Tiada berpaling tanpa alasan

Kini tawakal pelengkap segala
Setelah usaha terpaut doa
Menanti harapan juga kesempatan
Atau sekadar perasaan insan

ibnughazali
100510 : 140300

Share

Wednesday, May 5, 2010

CANTAS...!

(sedikit inspirasi buat mereka yang bersemangat tinggi)

Cantas...!
Dengan segala gerak yang pantas
Berpandukan kepada ilmu yang luas
Hujah serta idea yang bernas

Cantas...!
Usah beri dia bertunas
Jangan diizin dia bernafas
Sekat udara biar dia lemas

Cantas..!
Usah biar tapaknya merentas
Tanpa terhalang mereka melintas
Membuat onar menjadi perampas

Cantas..!
Tuntut segala yang belum lunas
Buat mereka terasa panas
Serta lidah teramat pedas

Cantas..!
Rancang sampai mereka terkandas
Usah beri mereka beralas
Bahananya mereka menjadi culas

Cantas...!
Ingatlah padanya yang ditindas
Diaib tanpa kasih dan belas
Difitnah tanpa ada bukti yang tuntas

Cantas..!
Buangkan segala sifat malas
Usah dirisaukan rasa cemas
Bersama mencapai martabat ikhlas
Pertahankan matlamat yang sedia jelas

CANTAS..!!!

ibnughazali
06052010 : 123000

Share

Sunday, April 25, 2010

ANTARA HASRAT DAN KUDRAT

(kembali pada perjuangan asal; melupakan sementara yang utama untuk yang lebih utama)


Kerana 1Hasrat
Terlupa akan 10 Ribu Kudrat
Hasrat hanya mendamai Jiwa
Sedang ia kosong bergendang
Perlu diisi tawaduk hamba
Tersebar akhlak budi berdendang

Kudrat inilah yang akan menjulang Maruah
Tercalar pedih angkara mereka yang Amarah
Menabur fitnah umpama rintik-rintik basah
Menghujani Yang Mulia tanpa rasa bersalah
Apa yang pentingnya bagi mereka
Isi tembolok sendiri itu yang utama...!

Kerana 2 3 Kerat
Putus Semangat 10 Ribu Kudrat
Bermain Hati Merajuk Diri
Berjoget ia menari Gembira
Berjaya memutus ikatan Saudara

Genggam tanganku wahai Kudrat
Eratkan pegang wahai Sahabat
Korbankan sedikit titis keringat
Bersama kita memalu nobat
Menang kita menang TERHORMAT..!

Yang Mulia kami berjanji
Menyebar faham mulia ini
Yang Mulia kami memberi
Hati ini untuk disirami

"Pada Ibu kami berbakti
Pada Ayah kami berbudi
Pada Guru kami memberi
Sepenuh jiwa untuk memahami
Apa sebenarnya yang dinamakan erti"

ibnughazali
26042010 : 144400

Share

Tuesday, April 13, 2010

DI SINI BUKAN SYURGA ITU...


Senang-lenang bergoyang-goyang
Bersandar lenggang hati girang
Tiada nestapa jiwa yang walang
Tiada duka tangisan berselang

Getar-getar nada gembira
Desir-desir tanda bahagia
Membuang resah menyingkir lara
Menyisih lembah diri terhina

Namun jangan lupa
Apa dikecap hanya sementara
Kelak semuanya ditarik semula
Itu hak-Nya bukan kau punya

Tiada salahnya mengimpikan bahagia
Namun jangan berkiblatkan manusia
Semuanya kau perlu usaha
Disulam dengan rintih-rintih doa
Serta tawakal pelengkap segala

Apa guna merayu dunia
Sedang tahu ganjaran di sana
Apa guna menghambatnya juga
Ketika syurga menjemput bahagia
Yang kekal abadi itu jaminan-Nya

Ingat pesanan sahabat setia
Di sini bukan syurga di sana...

ibnughazali
26042010 : 121200
Share

Wednesday, March 24, 2010

ANAK-ANAK ITU


(Suara Tangisan Mereka Didengari Namun Hanya Segelintir Faham Bahasa)

Mereka merintih sayu
Suara tangis mendayu-dayu
Semakin lama semakin layu
Bercampur baur resah bersendu
Ibarat debu dihembus bayu

Berbaris mereka menanti
Mencari malah tercari-cari
Mana dia insan wali?
Mana dia Ummi hakiki?

Sampai hati mereka
Meninggalkan kami begini sahaja
Ada yang tanpa nyawa
Ada yang berselimut duka
Tanpa mengerti cabaran muka

Apakah perlu kami
Menuntut kembali janji-janji
Yang sepatutnya dipenuhi
Oleh insan bergelar wali
Oleh mereka yang ingin dipanggil Abah dan Ummi

Sedangkan mereka lepas diri
Dalam kekalutan nafsu nafsi
Mereka terjerumus dengan disedari
Terjebak dalam jerat duniawi

Tertanya-tanya
Mana hilang tanggungjawab mereka?
Hilang entah ke benua mana?

Kami perlu belaian manja
Seperti manja mesra mereka
Sebelum jasad terbentuk sasa
Di dalam rahimmu Ibunda

Adakah kami terbentuk sempurna?
Dengan restu Ayah dan Bonda?
Atau terbentuk salahnya cara?
Atas dasar nafsu semata

Bagaimana nasibku di hari muka
Tiada yang layak kuletak tanda
Kasih, sayang serta mesra

Sedarilah...
Kini aku kesunyian
Walaupun seketika tanpa teman

ibnughazali
25032010 : 142304

Share

PADUKA BENTARA

(Cetusan Idea Beberapa Ketika Sebelum Mempengerusikan Forum Anti -Jenayah di UiTM Kampus Samarahan)
Langkah hemat Paduka Bentara
Memercik keringat di singgahsana
Salam dihulur pembuka bicara
Tanda bermula medan wacana

Langkahmu sumbang Paduka Bentara
Dibetah mudah para Memanda
Jika sedia ayuh segera
Memula kata membuka minda

Malang benar Paduka Bentara
Gagal menggapai kata dikota
Tertutup sudah ruang bicara
Berakhir sudah medan pendeta

Usah putus asa Paduka Bentara
Redha terima hatimu mulia
Medan bicara ditangguh sementara
Menanti gelanggang sebenar tersedia

ibnughazali

Share

Sunday, March 21, 2010

MAAFKANLAH DIRIMU


(Lontaran Hiba Hati Dari Kl Sentral Hingga Awan Biru)

Sudah lama tidak tertitis air duka
Bergenang hampir bertambah hiba
Terhiris dada terobek jiwa
Menanti apa tak kunjung tiba

Namun rasa pada kelopaknya
Zahir berduka tiada ternyata
Lafaz terkunci kosong bicara
Hanya yang kenal tahu ada tak kena

Aku menanti penuh harapan
Agar dapat merungkai simpulan
Yang dapat dipisah dengan ucapan
Bukan bait madah atau perhiasan
Bukan juga replika kemegahan

Teriakan kota-kota jumud itu seolah-olah memerliku
"Lihatlah dia seorang panglima yang tewas!
Gagal menawan apa yang dicita
Gagal mengota apa yang dikata.."

Terkesima aku di persimpangan ini
Antara terus menanti dan berlalu pergi
Menanti kepada yang belum pasti
Pergi kepada yang sedia terpaut hati

Terkilan gagal mengungkap kata berhemat
Merintih, terlepas dari mengungkap hakikat
Mengadu, pada-Nya yang punyai nikmat
Mengharap, semua beban kugalas erat

Dua risau menghimpit diri
Sebahagian kanan sebahagian kiri
Menyesakkan dada meremukkan kepala
Perlu terima atau buat tak tahu sahaja?

"Ya Allah, adalah ini kerna dosa silam?
Yang bagiku sudah terpadam
Terhapus dalam lipatan azam
Musnah karam di lautan dalam"

Ya Allah, kupohon petunjuk-Mu
Selang secawan kopi dan segelas susu
Pada detik panjang rintihan kalbu
Saat bertemu cantuman sendu

Pada-Mu ada persembahan soalan
Apakah ini kesudahan?
Ataupun satu permulaan?
Episod menduga kesabaran insan?
Menguji kekuatan azam dan kebenaran pegangan?

Masih belum reda rintih hiba
Masih bersarang pilu di jiwa

Terdetik seketika kata-katanya

"Kau boleh kecewa, namun tidak boleh berputus asa!"

ibnughazali
22032010 : 125555

Share

Tuesday, March 9, 2010

INI DOA DALAM DIRI


INI DOA DALAM DIRI
(terungkap kata di dada, terbina bahagia dicita)

Tiada terdengar tangis di jiwa
Tiada sendu derita yang meronta
Tiada cungap-cungap kurang udara
Tiada juga suara riang ketawa gembira

Yang ada hanya
Hembus-hembus nafas tenang
Terdengar desir-desir bilah-bilah kesyukuran
Terhitung melalui lidah-lidah kehambaan
Tertutur ratib sayu penuh kerendahan
Kelu namun tertib penuh pengharapan

Dalam syahdu malam
Aku terasa pulang kembali
Mengenal erti diri hakiki
Yang lemah dan kurangnya serba-serbi
Walau lengkap penciptaan hingga hujung kaki
Namun terasa diri masih belum bererti lagi

Lima jari dicantum bersama
Diraup penuh harap dan doa
Bertemu pasang sempurna hendaknya
Meluah kata-kata bersulam cita
Agar diperkenan diri empunya
Inilah Doa Dalam Diri hamba

ibnughazali
10032010 : 175000

Share

Wednesday, February 24, 2010

HADIRMU...

HADIRMU...

Kuterima dengan terbuka
Kehadiran yang tiba-tiba
Muncul kembali tanpa punca
Penuh rahsia saratnya terka

Aku tahu kau terkesima
Tiba-tiba menutur bicara
Dari hujung lidah emas berharga
Juga jemari ratusan juta

Bicara juga ku tahu punca
Atas pendirian yang tak terjangka
Harap selidik dan fikir semula
Adakah benar tindakan dikota?

Aku tahu kau ternanti
Akan kepulangan yang belum pasti
Insan yang amat ingin kau temui
Penuh misteri namun menarik hati

Pendirian insan tiada ketetapan
Perlu nasihat dan juga panduan
Aku hormati jika kau ke hadapan
Dalam mencari makna kehidupan

Benihkan kesabaran dalam diri
Racunkan cemburu dan segala iri
Tetapkan diri dalam menanti
Akan berjumpa sesuatu yang akan pasti...

ibnughazali
25022010 : 140730

Share

Wednesday, February 3, 2010

PUJUKLAH HATIMU

(nukilan khusus untuk hati yang merintih hiba)

Diri
Usah biar ia menangis
Merintih hiba jiwa terhiris
Seakan-akan menjadi pengemis
Yang rezekinya dikais-kais
Ada peringkatnya terkuis-kuis

Sedangkan ia ibarat waja Khurasan
Penuh segala ilmu dan pesan
Adab sopan identiti warisan
Berseri akhlak anggunnya hiasan

Ceritakan padanya
Tabah, sabar, redha kau punya
Terlindung seribu hikmah dan agenda
Terbaik dan hebat tanpa disangka
Jika mehnah diterima seadanya

Pujuklah
Hakikat insan dan masalah
Tak dapat dicelah
Tak dapat dipisah
Akal bijaksana bagi menelah
Semuanya adalah rahmat dari Allah

ibnughazali
04022010 : 105000


Share

Monday, February 1, 2010

AKU GEMBIRA..!

(Suara Hati Ketika Ini Menjerit Bahagia)

Aku bahagia
Walaupun tiada insan menyatakannya
Namun aku punya insan bersaudara
Teguh kukuh dalam ikatan yang nyata
Menyatakan ikrar sahabat setia
Setiap masa dan ketika

Biar ketika ini hatiku sunyi
Mereka hadir sebagai pengganti
Pemberi semangat dan motivasi diri
Membimbing diri ke jalan pasti
Walau halangan hadapan menanti

Aku juga melafaz kata-kata azimat
Mengikat tangan menggenggam erat
Mengangkat darjat martabat sahabat
Perjuangkan kebaikan agar sentiasa hebat
Di dunia yang hayatnya terlalu singkat

Sahabat...
Teman...
Rakan...
Kawan...

Mana tingkat kita
Mana martabat kita
Mana upaya kita
Andai saksi derita mereka
Adakah dihulur simpati cuma
Atau sekadar kerahan tenaga
Atau alasan yang ku mampu cuma

ibnughazali
02022010 : 095000



Share

Wednesday, January 13, 2010

TERBANG PULANG


(sempena kepulangan menjengah khabar)

walau ada jasad dipandang
namun hati sudah melayang
menjengah sunyi dua tersayang
yang sentiasa terbayang-bayang
ternanti-nanti diri ini pulang

kini aku terbang pulang
membawa ikhtiar sebagai penghilang
derita jasad uzur menjelang
agar semangat masih menjulang

tiada khabar gembira
tiada juga berita sengsara
diri pulang membawa sejahtera
jasad, rohani segala semua
sekadar mengubat rindu yang membara

walau masa mencemburui
batas jarak juga menjauhi
hanya nada menjadi pengganti
namun berdua tetap di hati
kekal dan abadi...

ibnughazali
14012010 : 124135

Share