Friday, July 31, 2009

APA YANG KAU CARI?


(Pertanyaan Berulang Kali, Penuh Simpulan Dan Kata Erti, Yang Berhati Mati Tidak Akan Memahami)

Apa sebenar yang kau cari?
Dalam hidup itu atau ini
Tentang alam itu atau ini
Sedar agar bukan lagi mimpi siang hari
Tidak sedar sudah hilangnya mentari
Yang sejak fajar dahulu lagi menyinari

Apa sebenar yang kau cari?
Cecah langit hujung ibu jari
Tanda jaya usaha sendiri
Namun kau cepat lupa bumi
Sedia menyambut keras jika kau tinggi diri

Apa sebenar yang kau cari?
Lautan dalam kau selami
Mutiara terpilih kau temui
Keindahan dasarnya kau nikmati
Adakah itu masih belum mencukupi?

Apa sebenar yang kau cari?
Atas bawah ke sana ke sini
Kembara berbekal gerak hati
Kosong lompong tidak terisi
Membawa ke mana kehendak diri?

Apa sebenar yang kau cari?
Banjaran darat kau rentasi
Kuat semangat tanpa pucat lesi
Bangganya serata ceruk kau telusuri
Apakah itu yang benar diingini?

Sememangnya kau buta hati!

ibnughazali
31072009
Share

PUDAR SUDAH PESONAMU


(Ilham Terdetik Melalui Bacaan Kali Kedua Novel
PUDARNYA PESONA CLEOPATRA
karangan Habiburrahman El-Shirazy,
Penulis Novel Ayat-Ayat Cinta)

Tenang...
Dalam pejam mata ini
Hati terdetik menyebut nama
Berulang-ulang agar diri tidak lagi lupa
Akan cantiknya, indahnya
Pesona yang terpamer
Kehebatan yang terukir
Dalam ayat dan juga kata
Dalam bicara dan juga bahasa
Penuh seliratan dan yang nyata

Pesona itu
Mengingatkan diri ini
Pada cinta dahulu
Yang tidak kesampaian
Lantaran kejahilan kesombongan
Lantaran pendek penilaian
Dan...
Panjang angan-angan

Pohon Kebijaksanaan
Ilmu Yang Tiada Batasan
Berikan sedikit bantuan
Berikan cinta yang dahulu tidak kesampaian
Suluhkan sedikit dasar jalan
Untuk terang hati kegelapan
Agar tahu matlamat hadapan

Pudar sudah cintamu insan
Berganti cinta kepada Tuhan
Namun tetap punya kekosongan
Pada mereka yang hatinya
Tertambat pada Kebesaran
Terkulai pada Keagungan

Puisi ini
Petik detik ilham insan
Hati karat penuh kekurangan
Tidak setanding wahyu diturunkan
Atas nama al-Quran
Asas pencapaian dan pedoman zaman
Kerasulan sehingga Perhitungan

ibnughazali
15102009 : 1515
Share

Wednesday, July 29, 2009

IZINKAN AKU BERBAKTI


(Saat Langkah Itu Tidak Berdaya Dan Seluruh Tenaga Dimamah Usia)

Langkah itu tidak pernah berputus asa
Setiap ketika tidak henti berusaha
Tersusun kala belum bercahaya
Teguh semasa terbuai lena

Gigih walau kehabisan kudrat upaya
Tubuh lesu tanda tiada berdaya
Kerdip-kerdip keletihan tidak bermaya
Yang rehatnya beberapa detik cuma

Namun kebenarannya,
Langkah itu tetap terus berjuang
Memastikan kami tidak terbuang
Mengharap kami antara yang terbilang
Agama, bangsa, negara kami yang julang

Longlai dan kasar kami lurutkan
Dasar dan sendi kami kukuhkan
Urat berselirat tersimpul kami betulkan
Harapan moga kukuh berkekalan

Tiada perlu dipapah setia sedia kesakitan
Dalam menahan sedih hati yang keperitan
Tanda kasih janji hidup yang dipatrikan
Membina generasi; zuriat yang boleh dibanggakan

Ayah dan Ibu kini kami kembali
Lama tak bersua bukan makna kami bersendiri
Bukan membawa rajuk di hati
Hanya mencukupkan bekalan pada diri

Ayah dan Ibu kini kami kembali
Memohon agar diterima bakti
Untuk kami perhambakan diri
Mencurahkan budi melimpahkan pekerti

Doa kami pulihlah ke asalnya
Agar gigih langkah bergaya
Untuk kami adaptasi contohnya
Bekal hidup yang serba-serbi pancaroba

ibnughazali
27072009:0030 Share

SEGAR UDARA PERBUKITAN

(Segar Udara Tika Fajar, Menjalar Seluruh Tubuh Tanda Terpelajar)

Terhambur derita rongga gelita
Keluar tanpa dipaksa-paksa
Jarang benar dapat dirasa
Tarik hembus segar nyawa
Pulang pulih seperti sediakala

Empat lapan empat lapan
Cara dan gaya menurut aturan
Tolak segala prana dan kepercayaan
Hanya mengharap; bergantung pada Tuhan

Empat lima lembar dihayati
Harap berkat hari titipan Ilahi
Nafas kanan petanda hari
Terpelihara izin-Nya hingga gelap mentari

Langkah kanan lindungan iringan hak dan punya
Bakti dicurah padanya; juga pada-Nya
Tolak wasangka; buruk lagak manusia
Memenuhi tuntutan; membanting upaya
Mencari damai, halal dan berkat-Nya
Buat bekalan; yang belum tahu masa ketika

ibnughazali
26072009:0505
Share

Thursday, July 16, 2009

PESAN PADA HATI...


Padamu hati dan perasaan
Ingin ku titipkan pesanan
Moga kau tidak rasa kebosanan
Agar jiwa terisi dengan peranan
Dan terubat dengan perkara kanan

Hati...
Waspada...nafsu dan Hawa
Elaklah... dari mendewa-dewa
Kelak dirimu akan kecewa

Hati...
Jangan lebihkan mereka dari Dia
Dia Maha Mulia
Dia pengubat derita

Hati...
Isi dirimu dengan amalan
Nescaya kau tetap pada jalan
Lurus sebenar-benar laluan
Agar terpandu hidup yang tak ketahuan

Perasaan...
Harap tabah dengan cabaran
Yang datang bersama godaan
Resah cemburu segala cubaan
Untuk runtuhkan binaan amalan

Perasaan...
Kuatkan semangatmu
Usaha tanpa letih bertamu
Tinggalkan segala yang berlalu
Bina hidup yang baru

ANaZRaz
1400 : 17072009
Pusat Penerangan Islam
Kuching, Sarawak
Share

Monday, July 13, 2009

TENGGELAMNYA ILHAM

TENGGELAMNYA ILHAM
(Hati Tidak Gundah, Perasaan Tidak Parah, Tanda Jiwa Kental Dan Tabah)

Adakah benar apa mereka kata
Adakah hakikat atau dusta
Atau ingin membuat nista
Agar roboh kukuhnya binaan kota

Mereka kata dahulu kau ramah diri
Sentiasa bertegur tak pernah menyendiri
Ketawa kecil senyum sentiasa menghiasi
Membuatkan orang suka dan senang hati

Tetapi kini kau buat tak tahu
Jarang bertegur walaupun berselisih bahu
Memilih orang seumpama bulu
Rasa sendiri, rasa orang kau tak tahu menahu

Inikah akibat apabila sudah ternama..?
Dikenali ramai; alahai bukannya satu cakerawala
Tinggi diri; bangga yang tak setara mana
Sombong; bongkak apabila dipuji puja
Ingat, itu hak TUHAN bukan hak HAMBA!

Banyak lagi yang mereka katakan
Banyak pula aku kena coretkan
Cukuplah hanya di atas sebagai makluman
Sebagai tanda ada juga insan yang tidak berkenan

Aku mahu kau kata itu bukan
Hanya salah faham akibat jiwa tertekan
Amat perlu untuk kau nafikan
Itu hanyalah fitnah dan tohmahan
Yang mencalarkan nama baik dan juga kedudukan

Aku mendengar belum lagi percaya
Lagi logik si miskin tiba-tiba jadi kaya
Jangan risau aku tetap akan bertanya
Kepada peringkat raja hinggalah hamba sahaya

Aku tidak yakin pada bicara
Aku lebih memerhati lagak dan cara
Dari situlah aku menimbang tara
Membuat keputusan yang bukan segera

Kota kukuh belum lagi tenggelam
Walau pasang surut siang malam
Andai benar dan sudah jelas dan faham
Harap maaf, kau bukan lagi sumber ilham..!

Walau aku bisa mengubah tingkahmu
Tidak mahu; untuk letih fikiranku bertamu
Kerana ramai lagi yang perluku bertemu
Menabur bakti dan jasa tanpa rasa jemu

Anak mataku sentiasa memerhati
Gerak hatiku sentiasa mengamati
Mencari hakikat tanpa ku henti
Hikmah tujuh indera menjadi bukti

Aku akan mencari jawapan itu…

ANaZRaz
12072009 : 1030
Share

Wednesday, July 8, 2009

NAK KENA SEPAK ATAUPUN TERAJANG?

(Ayat-Ayat Keras Buat Mereka Yang Rela Kepala Dipijak Dan Akal Diinjak)

Biarpun kita baik hati
Biarpun kita pekerti tinggi
Biar selaut kita berbudi
Jangan lupa maruah peribadi
Jangan lupa berharganya diri
Jangan lupa rintihan hati

Tidaklah adil kalau begitu
Dianggap diri umpama batu
Dilempar orang ke sana ke situ
Jadi pecah, retak ataupun berkerutu
Yang melihatpun risau diri membantu

Bangkitlah pejuang..!
Pertahankan diri jangan dibuang
Diri sendiri utamakan sayang
Belajar menyerang daripada diserang
Agar berterabur semua musuh menentang

Tuntutlah semula budaya warisan
Agar kita tidak hilang kesan
Adat dan resam tidaklah bosan
Seribu banyak ilham dan pesan

Nak kena sepak ataupun terajang?
Ataupun kita kais dan bagi pulang
Bayaran segala hutang piutang
Dendam kesumat mereka yang tak pernah hilang

ANaZRaz
09072009 : 1215-1237 Share

Monday, July 6, 2009

KERANA KASIH AKU DATANG, KERANA KASIH AKU MENGHILANG

(Saatku Terpana, Khabar Yang Menerpa, Membawa Seribu Makna Juga Airmata)

Bagai hembus nafas aku datang

Membawa diri tanpa dipaksa mahupun terpaksa
Walau ada yang mempersoalkannya
Aku senyum seraya berkata

"Apa salahnya..!
Tempat baru budaya berbeza
Satu rumpun satu negara
Berdaulat bernaung di bawah Raja yang sama
Asalkan namanya Malaysia
Cukup aman bagi diri pengembara"

Bergalas amanah dan juga beg kecil
Aku ke tempat yang kata mereka terpencil...?
Ke satu daerah yang amatlah kecil..?
Sedangkan mengembara merentasinya beberapa kali terkucil
Pengalaman siapa, dari manalah kau ambil..?

Tiba sahaja disambut penuh mesra
Seolah-olah telah lama bersaudara
Tidaklah jadi kisah ibukota dan si kera
Masuk sahaja terus bercempera

Jemariku disambut semesra-mesra salam
Melupakan terus segala kepahitan silam
Kuselami sifatnya; pengalamannya dalam-dalam
Kuraup; kutadah menjadi selautan kolam
Sebagai bekalan; peringatan masa hadapan yang belum tentu tahu terang kelam

Belum puas kujelajah Selatan ke Utara
Tidak sempat kuredah belantara terpelihara
Tidak lagi kuamati budaya dan cara
Belum kufasih lidah bahasa mantera

Kerana kasih aku datang
Sebagai manusia pada semua kusayang
Sayangkan watan aku bertandang
Rela berkorban pertahankan gemilang
Kerana kasih-Nya aku berjuang
Biar putus nyawa di hujung mata pedang

Kerana kasih juga aku pulang
Walau diri berhati walang
Diseru aku akhir berdagang
Untuk beralih medan berjuang

Saat cinta mekar menjulang
Pohon cinta pasti berlalang
Jika tiada siraman memenuhi liang
Dusta fatamorgana hadir dan pulang

Bagai kabus fajar aku menghilang


ANaZRaz
06072009 : 2330 Share

Saturday, July 4, 2009

BUAT BAIK BERPADA-PADA

(puisi yang dipetik daripada laman blog A. Kadir Jasin)

KITA berada dalam era yang kelabu.
Tidak ada lagi warna hijau, merah dan biru.
Sudah bercampur baur.
Pudar, kelabu dan kabur.

Kita dikatakan lepas bebas.
Era globalisasi yang terbuka luas.
Tetapi mengapa kita berasa terbatas?
Terkepung, terbendung, terpintas
Takut berhujah, bimbang berbahas.

baca lanjut... Share

PUISI BUNGA HATI

(Rasa Hati Di Kala Keletihan Menyelubungi, Kala Rindu Menghantui)

Aku tak tahu rasa hatimu
Aku tak pasti bicara jiwamu
Walaupun mudah sahaja aku dapatkan kepastiannya
Jika aku tidak selemah kini

Aku tak rela kau hilang sahabat setia
Aku tak mahu kau putus saudara juga
Walaupun ku yakin aku; kau kan kecap bahagia
Jika kau jadi pelindung rusuk kiriku adinda

Atas itulah
Aku undur cuma seinci
Tidaklah sejauh yang kau perhati
Kuselindungkan sedikit sisi
Keberanian dan kecekalan diri
Yang ku asah hampir sedekad
Kewibawaan dan karisma peribadi
Yang terbukti menarik hati sanubari
Bagi yang memerhati dengan jiwa murni

Kumohon
Berikan sedikit kias jawapan
Untuk melapisi segala persoalan
Yang berlegar di ruang fikiran dan harapan
Aku yang melayang di awangan
Tanpa kutahu mana landasan

Ku mahu kau tahu
Hati ini masih melayarkan harapan
Untuk bersauh di tengah lautan
Bagi menyelamatkan mereka yang karam
Natijah bahtera khilaf dan silap silam
Cuma kuharap sokongan dan bantuan
Aku nahkoda dan kau pengemudi
Saling bergantung sesama sendiri

Ingin sahaja ku menjenguk diri
Bertanya khabar dan isi hati
Namun tidak lagi untuk kebebasan ini
Yang kurantai dengan rasa rendah diri
Yang kau mahkotakan diri dengan tinggi pekerti

Aku ingin jawapan kepastian ini
Darimu BUNGA HATI

ANaZRaz
03072009 : 2235 Share

BICARA DARI PEMBARINGAN

(Kisah Benar Pada Malam Ketika Tubuh Tiada Upaya, Lidah Kelu Tak Berkata, Akal Bertanya Inikah Saatnya?)

Lidah kelu tiada bicara
Hanya hati merintih meronta
Menyala pandang bahang neraka
Ada suara tidak faham bahasanya

Gerak tubuh bagai dirantai
Diikat dibungkus terkapai-kapai
Ada tujuan tak dapat juga dicapai
Tak tahu bilakah hasrat kan digapai

Bergetar bergegar pangkal bukannya lapar
Sejuk tambah beku; tangan kakiku menggeletar
Nafas semput; seluruh tubuh tak dapat kuhantar
Akal pusing; ilham dan kebijakan berputar-putar

Andai malam ini tinggal sesaat
Adakah dapat Kau kabulkan hajat
Agar dapat kupanjat rukuk dan sujud taubat
Lanjutkanlah untuk malam yang penuh berkat dan nikmat
Siksa barzakh yang tentu diangkat
Menjadi satu cita setiap umat
Yang tahu betapa perit amat
Menanggung sengsara bumi-Mu tujuh peringkat

Adakah ini empat belas hari itu?

Untuk aku menimbang berat kini
Sebelah kanan ataupun kiri
Bagi aku koreksi diri
Yang sentiasa mendabik dada ini
Aku terbilang, aku disegani, aku dihormati
Sampai saat ini aku tiada apa-apa erti lagi

Dan untuk aku bersedia
Menghadapi kenyataan yang benar-benar nyata
Saat kerongkong hanya menahan nyawa
Untuk dilepaskan menghadap Yang Esa

Adakah ini empat belas hari lagi?

Tiada siapa yang menemani di kiri kanan
Untukku tinggalkan pesanan
Sediakan kain bersih sebagai hamparan
Ikatan lima rapi; tanda penyerahan
Ke alam lain; akulah hantaran

Tapi,
Aku tidak mahu dibersihkan
Aku tidak mahu kain putih sebagai persalinan
Aku tidak mahu nisan bertempah sebagai perhiasan

Biar kotor debu dan bau hanyir iringi perjalanan
Aku mahu apa yang kupakai itu sebagai bekalan
Biarkan pusara usang dan tanah gersang tidak bernisan

Yang kuharap menjadi saksi pemberi harapan
Inilah dia hamba-Mu dalam perjuangan
Tetap dan rela berkorban hingga akhir merah titisan.

ANaZRaz
01072009 : 2200
(ditulis semula 03072009 : 1430) Share

Wednesday, July 1, 2009

APA YANG KAU MEREPEK NI...?

(Ilham Dari Jeritan Batin Insan Terkurung Dalam Masalah Ciptaan Sendiri)

Sudah-sudahlah mengarut
Bercakap terhambur isi perut
Tersimpul-simpul tambah berserabut
Hati jiwamu yang dah asal kusut

Kau lepas kemarahan
Yang tidak lagi dapat kau tahan
Ingatlah kita juga punya Tuhan
Pilihan yang tepat sebagai sandaran

Apa yang keliru kau tanya padaku
Biar kutunjuk jawapannya satu-persatu
Agar fikiranmu tidaklah buntu
Seperti sekarang hidupmu tak menentu

Apa yang tak faham kau cari jawapan
Bagi merungkai segala persoalan
Yang bersarang di minda dan fikiran
Semoga dirimu tenang dan aman

Aku nak nasihat semoga kau tenang
Tidaklah meraung segalanya kau tendang
Perangai tak bertamadun itu yang kau pandang
Adab ketimuran ke mana menghilang..?

Harap kau dapat tenangkan diri
Biasalah masalah...sentiasa datang dan pergi
Jangan kau ikut rentak dan tari
Menyusutkan daya pemikiran kendiri

Semoga dapat berfikir dalam-dalam
Setiap ketika ataupun sebelum tidur malam
Maafkan semua salah yang silam
Mereka yang pernah menjadikan hidupmu suram mahupun kelam

ANaZRaz
01072009 : 1530 Share