(Saatku Terpana, Khabar Yang Menerpa, Membawa Seribu Makna Juga Airmata)
Bagai hembus nafas aku datang
Membawa diri tanpa dipaksa mahupun terpaksa
Walau ada yang mempersoalkannya
Aku senyum seraya berkata
"Apa salahnya..!
Tempat baru budaya berbeza
Satu rumpun satu negara
Berdaulat bernaung di bawah Raja yang sama
Asalkan namanya Malaysia
Cukup aman bagi diri pengembara"
Bergalas amanah dan juga beg kecil
Aku ke tempat yang kata mereka terpencil...?
Ke satu daerah yang amatlah kecil..?
Sedangkan mengembara merentasinya beberapa kali terkucil
Pengalaman siapa, dari manalah kau ambil..?
Tiba sahaja disambut penuh mesra
Seolah-olah telah lama bersaudara
Tidaklah jadi kisah ibukota dan si kera
Masuk sahaja terus bercempera
Jemariku disambut semesra-mesra salam
Melupakan terus segala kepahitan silam
Kuselami sifatnya; pengalamannya dalam-dalam
Kuraup; kutadah menjadi selautan kolam
Sebagai bekalan; peringatan masa hadapan yang belum tentu tahu terang kelam
Belum puas kujelajah Selatan ke Utara
Tidak sempat kuredah belantara terpelihara
Tidak lagi kuamati budaya dan cara
Belum kufasih lidah bahasa mantera
Kerana kasih aku datang
Sebagai manusia pada semua kusayang
Sayangkan watan aku bertandang
Rela berkorban pertahankan gemilang
Kerana kasih-Nya aku berjuang
Biar putus nyawa di hujung mata pedang
Kerana kasih juga aku pulang
Walau diri berhati walang
Diseru aku akhir berdagang
Untuk beralih medan berjuang
Saat cinta mekar menjulang
Pohon cinta pasti berlalang
Jika tiada siraman memenuhi liang
Dusta fatamorgana hadir dan pulang
Bagai kabus fajar aku menghilang
ANaZRaz
06072009 : 2330
Share
0 comments:
Post a Comment